lightning-solid
Berita :
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
Hafiz Rosli
04 Sep 25
4334

KEMAMAN, 4 September – Seramai 138 penduduk Kijal menerima dokumen hak milik tanah masing-masing melibatkan 19 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kediaman dan pertanian, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A bagi sebuah RTB kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata penyerahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menunaikan janji kepada rakyat serta memastikan kebajikan mereka terus diberi keutamaan.

“Alhamdulillah, seramai 138 penerima kini boleh menarik nafas lega selepas menerima dokumen hak milik tanah, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A.

“Insya-Allah akan ada lagi penyerahan seterusnya untuk rakyat yang layak," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A Bagi RTB Bangunan Kediaman dan RTB Pertanian bertempat di Kompleks Paya Lasir, Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan terlibat.

Razali berkata RTB yang terlibat termasuk Pondok Pasir, Jong Belabuh, Kampung Payoh, Bujal, Kampung Ibok, Bukit Panjang, Beris Meraga, Kampung Pantai Penunjuk serta beberapa kawasan lain bagi tapak kediaman dan pertanian.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha mempercepatkan proses berkaitan tanah supaya lebih ramai rakyat Kijal dapat memiliki tanah sendiri secara sah dan terjamin.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan