• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

14 Jalan Terjejas Banjir Di Hulu Terengganu Ditutup

KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Sebanyak 14 jalan di daerah ini ditutup kepada kenderaan selepas tenggelam akibat banjir.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, jalan-jalan yang ditutup itu ditenggelami air antara sedalam 0.25 hingga 1.25 meter (m).

Katanya, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 12 jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala dua ditutup untuk kenderaan ringan.

“Ia membabitkan Jalan Kampung Jak yang dinaiki air sedalam 1.25m sepanjang 350m ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga dengan Jalan Kampung Pengkalan Ajal melibatkan laluan sejauh 300m dengan paras air 1.1m.

“Jalan yang ditutup bagi semua kenderaan turut melibatkan laluan sejauh 250 meter di Jalan Kampung Batu 24 serta Jalan Kampung Nibong dan Jalan Kampung Bukit Tadok-Paloh Nyior yang dinaiki air 0.5m sejauh 200m.

“Laluan lain yang turut ditutup kepada semua kenderaan juga ialah Jalan Kampung Tapah Felcra Bukit Kapah, Jalan Kampung Kepah-Kuala Ping, Jalan Kampung Felca Pasir Pelata, Jalan Kampung Pereh-Menerong, Jalan Kampung Felcra Bentong, Jalan Kampung Kua – Pengkalan Ajal serta Jalan Persimpangan Paya Besar, ” ujarnya.

Katanya, jalan ditutup kepada kenderaan ringan pula ialah Jalan Paya Besar yang dinaiki air sejauh 300 meter serta Jalan Kampung Lubuk Periuk-Kampung Felda Mengkawang membabitkan laluan sejauh 100m.