• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bina 15 Telaga Tiub Bernilai RM20,000 Elak Penduduk Terputus Bekalan

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Terengganu telah membina 15 telaga tiub atau boreng air bernilai RM20,000 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh dan Seberang Takir bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan tidak kehabisan bekalan asas terbabit

Pengarahnya, Hanafiah Mat berkata, ia ditempatkan di kawasan yang dikenal pasti penduduknya tiada memiliki keupayaan dan kemampuan untuk mengangkut air dari tangki statik yang disediakan.

Katanya, inisiatif tersebut mampu mengurangkan sedikit beban yang ditanggung orang ramai susulan bekalan air terputus ekoran kerosakan paip di dasar sungai Terengganu baru-baru ini.

"Saya harap ia akan siap dalam masa tiga hari. Tempat yang kita tumpukan ini adalah mereka yang didapati merupakan golongan termiskin.

"Mengenai kaedah ini pula kebanyakkan maklum balas yang diterima mengatakan airnya bersih," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri berkata demikian ketika sidang media dan pelepasan lori bantuan air di hadapan Muzium Negeri hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Ngo Negeri,Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha Khidmat Malaysia Terengganu, Mohd Soud Said @ Ali dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Mohd Nasir Razak.

Hanafiah Mat.

Mengulas lanjut Hanafiah Mat berkata, melalui NGO tersebut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Berangan telah ditubuhkan khusus bagi memastikan segala bantuan dan kebajikan penduduk berkenaan berjalan dengan baik.

"Dengan penglibatan 500 sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) melalui Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) setiap hari bekerja dari pagi sampai 12 malam dengan mengikut giliran.

"Bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna, sebenarnya tiada isu pada kali ini kerana air sentiasa tepat sampai pada masanya," ujarnya.

Katanya lagi, usaha bagi menyampaikan setiap bantuan pada waktu ini juga lancar dengan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sentiasa bertindak dan bergerak.

"Jadi saya yakin, penduduk yang menghadapinya pada kali ini tidak terasa sangat kerana sudah mendapat air minuman yang disediakan oleh kerajaan, bermula semalam 134,000 karton air minuman telah diberikan dimana setiap rumah penduduk menerima lima karton air tersebut. 

"Dihantar oleh JPKK, akan dipastikan sampai dalam masa dua tiga hari ini. Mereka juga menyewa kenderaan pacuan empat roda, lori satu tan untuk pastikan proses mengambil air dan memastikan ia mencukupi dalam setiap tangki statik yang disediakan," ujarnya.

Beliau turut optimis bahawa masalah berkenaan akan diselesaikan tepat pada masanya, justeru Hanafiah meminta agar setiap mereka yang mengalaminya jangan panik, kerana kerajaan negeri ini akan sentiasa menghulurkan pertolongan.


Tag: