Jalur Gemilang
Berita :
156 Acara COE Terengganu 2027, Prestasi Dan ROI 2026 Jadi Panduan
156 Acara COE Terengganu 2027, Prestasi Dan ROI 2026 Jadi Panduan
Rohayati Ripin
21 jam yang lepas
73

KUALA TERENGGANU, 19 November – Sebanyak 156 acara dirancang menerusi Calendar of Events (COE) Terengganu 2027 dengan prestasi dan pulangan pelaburan (ROI) penganjuran sepanjang 2026 dijadikan asas bagi menambah baik program pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, jumlah itu merangkumi 17 acara utama (Signature Events) dan 139 acara sampingan (Side Events).

Menurutnya, penilaian terhadap penganjuran COE tidak hanya berdasarkan jumlah kehadiran pelancong, sebaliknya turut mengambil kira kesan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraftangan serta komuniti setempat.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) melaksanakan pemantauan dan penilaian menerusi laporan pasca acara, rekod kehadiran pengunjung serta pencapaian program bagi mengukur keberkesanannya dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Kelima Belas (Sidang Bajet), di sini, hari ini.

Razali menambah, aspek ROI turut dinilai berdasarkan kos penganjuran, jumlah kehadiran, penglibatan usahawan tempatan dan anggaran perbelanjaan pengunjung sepanjang berlangsungnya sesuatu acara.

Katanya, penilaian itu membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti program yang memberi impak tinggi, selain memperkemas perancangan supaya peruntukan dan sumber yang digunakan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

“Antara aspek yang dilihat termasuk kesan kepada perniagaan, sektor penginapan dan pengangkutan serta peluang pendapatan tambahan kepada komuniti setempat,” katanya.

Antara acara yang merekodkan jumlah kehadiran atau penyertaan tinggi sepanjang 2026 termasuk Pelita Raya Terengganu dengan lebih 100,000 pengunjung, Terengganu International Bike Week kira-kira 100,000 pengunjung dan Terengganu Marathon dengan 33,499 penyertaan.

Menurut Razali, pencapaian tersebut akan menjadi antara rujukan dalam merangka COE 2027 supaya penganjuran acara bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong, malah memberi limpahan ekonomi yang lebih besar kepada sektor dan komuniti tempatan.

“Hasil penilaian ini dijadikan asas untuk menambah baik perancangan COE agar manfaatnya lebih menyeluruh kepada rakyat dan ekonomi negeri,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan