Jalur Gemilang
Berita :
16 Sekolah Islam Darul Iman Tampung Hampir 4,000 pelajar
16 Sekolah Islam Darul Iman Tampung Hampir 4,000 pelajar
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
86

KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri Terengganu kini mempunyai sebanyak 16 institusi Sekolah Islam Darul Iman, terdiri daripada 12 Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan empat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), dengan keseluruhan 3,898 pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata peluasan institusi berkenaan membabitkan penubuhan sekolah di beberapa daerah bagi menyediakan akses pendidikan Islam secara lebih meluas kepada masyarakat.

Menurutnya, sebanyak 3,092 pelajar kini mengikuti pengajian di 12 SRIDI, manakala empat SMIDI pula menampung 806 pelajar.

“Bagi SRIDI, seramai 1,571 pelajar lelaki dan 1,521 pelajar perempuan direkodkan, manakala SMIDI mempunyai 451 pelajar lelaki dan 355 pelajar perempuan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Bajet).

Tambahnya, SRIDI kini beroperasi di Bandar, Buluh Gading, Pengkalan Berangan, Ajil, Bukit Besi, Kota Putera, Paka, Kijal, Permaisuri, Cukai, Kuala Berang dan Seberang Takir.

Sementara itu, empat SMIDI masing-masing beroperasi di Dungun, Kuala Nerus, Besut dan Hulu Terengganu.

“Penubuhan sekolah-sekolah ini memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan pendidikan yang menggabungkan aspek akademik dan pendidikan Islam kepada anak-anak Terengganu,” ujarnya.

Satiful berkata, kewujudan institusi pendidikan berkenaan turut memberi pilihan kepada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan berteraskan Islam di peringkat rendah dan menengah.

Secara keseluruhannya, 16 sekolah berkenaan kini menjadi sebahagian daripada rangkaian pendidikan Islam Darul Iman yang menampung hampir 4,000 pelajar di seluruh Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan