• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

18 RAMD Selamatkan 59 Mangsa Banjir Terkandas di Kg Tok Kah

DUNGUN, 16 Disember - Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD)(PARA) telah diatur gerakkan untuk membantu dan menyelamatkan 59 mangsa banjir yang terkandas di sekitar Kampung Tok Kah, Dungun semalam.

Ketua Kompeni 18 RAMD (Para) Operasi MURNI Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Dungun, Mejar Mohd Amir  Mohd Alid berkata seorang pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat sebagai 'first responder' telah digerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir seawal jam 3 pagi itu.

"Pihak kami telah menerima maklumat daripada penduduk kampung berkaitan kawasan mereka yang telah dinaiki air dan mereka tidak keluar ke ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Seterusnya kami mengaturgerakkan semua aset perairan bagi menyelamatkan 59 orang mangsa banjir itu untuk dibawa ke PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Kah pada jam 4 pagi," katanya kepada pemberita.

Beliau juga berkata pihaknya sentiasa bersedia 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap di lokasi mengikut aduan yang diterima daripada orang awam tanpa mengira masa.

Dalam pada itu, mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 2,622 orang sehingga jam 8 malam ini, membabitkan enam daerah.

Daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 1,615 orang daripada 399 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS.


Tag: