• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

181 Graduan Tamatkan Pengajian SPAIT

KUALA NERUS, 3 Disember – Seramai 181 graduan berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil bersempena Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Pelajar Batch Kedua Tahun 2023.

Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke program berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin dan Yang Dipertuan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail. 

Program yang bermula pada jam 10.00 pagi itu berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini.

Majlis bermula dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Johan Tilawah Qariah Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M Nor Hidayah Abd Rahman.

Shaikh Harun berkata SPAIT merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIDAM bagi mewujudkan satu platform khas pembelajaran agama Islam secara formal dan berstruktur.

“Program ini ditawarkan kepada masyarakat Terengganu yang berusia 25 tahun dan ke atas serta program ini juga telah menjangkau usia 12 tahun” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.

Tambah Shaikh Harun, sistem pembelajaran dan pengajian ini mengadaptasikan konsep Kelas Agama Dewasa dan Kelas Malam yang pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an.

"Para graduan pada hari ini merupakan mereka yang telah berjaya menamatkan tiga sesi pembelajaran iaitu ibtidai (permulaan), mutawassit (pertengahan) dan mutaqaddim (lanjutan).

"Program ini telah mencapai kejayaan tersediri dengan pembukaan 47 kelas melalui 35 masjid terpilih bagi proses pembelajaran dan pengajaran SPAIT," katanya.

Manakala jelasnya, jumlah pelajar yang tekun mengikuti pengajian adalah seramai 1690 orang dan jumlah pelajar berjaya bergraduasi ialah seramai 234 orang.

Pada majlis itu, turut diserikan dengan persembahan kumpulan nyanyian nasyid daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Yang Dipertuan Muda diiringi Ahli-Ahli Majlis Kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri berangkat pulang dari Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, pada jam 12.30 tengahari.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: