• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

186 Bangunan Sekolah Di Terengganu Akan Dijadikan PPS

KUALA TERENGGANU, 14 September- Sebanyak 186 sekolah menengah dan rendah akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 156 membabitkan sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan tujuh sekolah agama.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, bangunan sekolah yang akan dijadikan sebagai PPS boleh menampung kira-kira 74,580 mangsa bencana banjir.

Bagaimanapun katanya, proses pembelajaran tidak terjejas walaupun 186 bangunan sekolah dijadikan PPS.

"JPNT akan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu kerana pelajar akan dipindahkan ke bangunan lain untuk mengikuti pembelajaran," katanya kepada media pada majlis perasmian Kayuhan Merdeka peringkat negeri di Dataran Anjung Ilmu, di sini, semalam.

Majlis pelepasan peserta kayuhan yang turut disertai pelumba berbasikal kebangsaan, Mohd Harris Salleh dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed.

Turut hadir dan menyertai kayuhan sejauh kira-kira 20 kilometer adalah Ketua Hakim Syarie, Datuk Wan Mohd Nazri Wan Mohd, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zulkarnain Yasin, Pengarah Muzium negeri, Muhammad Azmi Ngah dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Nukman Hashim.

Abdul Muie berkata demikian ketika mengulas persiapan JPNT menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda Negeri Terengganu mulai November depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Mengulas lanjut, Abdul Muie, berkata berdasarkan kepada bencana banjir tahun lalu, bukan semua bangunan sekolah akan digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.