• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

19,624 Calon SPM Terengganu Bakal Duduki Peperiksaan Esok

Shafruddin Ali Hussin.
KUALA TERENGGANU, 12 November - Seramai 19,624 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu bermula  esok.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, berdasarkan angka itu, sejumlah 17,808 calon adalah pelajar dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 740 calon adalah dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 58  calon sekolah menengah agama negeri, 126 calon swasta dan 892 calon persendirian.

“Sehubungan itu, seramai 1,303 petugas peperiksaan ditempatkan di 168 pusat peperiksaan bagi membantu mengendalikan calon SPM,” katanya.

Dalam tumpuan sama, seramai 2,367  calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga akan  mula menduduki peperiksaan esok di  44 pusat peperiksaan membabitkan 393 petugas peperiksaan.

Shafruddin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mengetahui maklumat mengenai masa peperiksaan, arahan dan amaran sepanjang tempoh peperiksaan.

Katanya, calon juga diingatkan supaya sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan cuaca di tempat masing-masing.

“Sekiranya berlaku kecemasan, termasuk berdepan kesukaran untuk ke pusat peperiksaan, mereka disarankan berhubung seberapa segera dengan pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya.


Tag: