• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

200 Orang Asli Sungai Berua Terima Bantuan

HULU TERENGGANU, 30 Disember – Seramai lebih 200 orang asli di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Berua menerima bantuan yang disampaikan Menteri Hal Ehwal Agama dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), petang tadi.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, program kali ketiga itu bertujuan menyantuni masyarakat dan anak orang asli yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdullilah kelihatan jelas keseronokan dan kegembiraan yang ada pada muka anak-anak orang asli ini dan diharapkan kita dapat melangsungkan program begini dari semasa ke semasa.

“Pihak kementerian bersama agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberi tumpuan kepada golongan B40 dan M40 dengan mengadakan hampir 30 jenis skim-skim bantuan.

“Skim tersebut terdiri daripada bantuan makanan, persekolahan dan sebagainya kepada pelbagai golongan masyarakat seperti asnaf dan bukan islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ‘Cuci-cuci Masjid’ dan Musa'adah COVID-19 di Kampung Sungai Berua, Kuala Berang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Hashim Salleh serta Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Yang Mulia Engku Omar Amiruddin Engku Ali .

Sementara itu, Tuan Kamarul Arief menyifatkan usaha yang dicetuskan Menteri sendiri itu menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan beliau terhadap pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang asli.

“Sumbangan bantuan terdiri daripada barang keperluan asas, pakaian dan wang tunai kepada warga dewasa dan kanak-kanak.

“Manakala sukarelawan YADIM yang terlibat mencuci masjid adalah 20 orang dari Bukit Payung.

“Buat masa sekarang sukarelawan seluruh negara seramai 7,000 orang, matlamat kami adalah untuk mencapai 10,000 orang bagi mempergiatkan usaha dakwah dan kebajikan di seluruh negeri dan negara,” tambahnya.