• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

200 Warga Tani Terima Bantuan MAFI Prihatin

BESUT 23 November – Seramai 200 orang warga petani telah menerima sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan berbentuk barangan keperluan harian tersebut melibatkan sumbangan pelbagai agensi pertanian.

Menurutnya, pemberian sumbangan MAFI Prihatin dilaksanakan bagi membantu mereka yang terkesan akibat musibah yang melanda negara seperti banjir dan pandemik Covid-19.

“Saya istilahkan inisiatif ini sebagai merapatkan hubungan di antara petani, penternak dan nelayan dengan jabatan-jabatan yang sebenarnya memainkan peranan besar dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan.

“Contohnya, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Terengganu (LKIM), Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain lagi agensi dibawah MAFI.

“Sehingga kini, pelbagai inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah diagihkan dari Januari hingga November tahun yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 warga tani dengan nilai RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin Peringkat Negeri Terengganu 2021 di Dewan Sivik Jabi, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Setakat Oktober, seramai 125,724 orang telah menerima bantuan MAFI Prihatin di seluruh negara melalui 626 program MAFI Prihatin yang dilaksanakan oleh jabatan serta agensi di bawah MAFI.