• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

2,000 Pengunjung Gemakan Sorakan Harimau Malaya di Selepek Sahur

KUALA TERENGGANU, 27 Mac- Sempena aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung semalam, seramai 2,000 penyokong Harimau Malaya berkumpul di Selepek Sahur Payang Walk bagi menyaksikan perlawanan antara pasukan kebangsaan menentang Oman, malam tadi.

Pengurus Payang Walk, Mohd Rafi Kori menzahirkan rasa teruja dengan program yang diadakan pada saat-saat akhir itu.

"Sangat teruja dan terkejut apabila kita adakan kelainan sempena memeriahkan perlawanan kelayakan Piala Dunia pasukan Harimau Malaya menentang Oman di sini, malam ini.

"Kebiasaannya kurang lebih akan ada sekitar 500 hingga 1,000 pengunjung yang bertandang, tetapi malam ini saya rasa melebihi 2,000 pengunjung yang hadir.

"Kami gembira khususnya bagi para pengusaha gerai jualan kerana kehadiran ramai memeriahkan Selepek Sahur dan paling menarik, para pengusaha turut menawarkan baucer makanan dan pelbagai tarikan di gerai jualan mereka bagi menyokong program malam ini," katanya ketika ditemui di program berkenaan, semalam.

Tambahnya, jadual perlawanan pada jam 10.00 malam juga memberi kesempatan orang ramai menunaikan solat tarawih terlebih dahulu.

"Malam ini juga kita selitkan dengan cabutan bertuah, aktiviti kanak-kanak dan kuiz bola dan respon diterima amat baik.

"Walaupun Malaysia kalah, semangat penyokong tidak berbelah bahagi, seronoknya malam ini ramai yang pakai jersi Harimau Malaya, mafla seperti pergi ke stadium," katanya.

Mohd Rafi turut memaklumkan, Selepek Sahur akan mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang baki bulan Ramadan yang menarik dan mempelawa orang ramai membawa keluarga bersantai di lokasi tersebut. 

 

 


Tag: