KEMAMAN, 8 November – Seramai 27 penerima daripada masyarakat India menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali menerusi satu program agihan yang berlangsung di Balairaya Taman Sri Perasing, Jabor, Kemaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, usaha menyantuni masyarakat berbilang kaum seperti ini merupakan sebahagian daripada komitmen untuk memastikan kebajikan penduduk setempat terus diberi perhatian tanpa mengira latar belakang.
"Amalan saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain perlu terus dipupuk bagi mengekalkan keharmonian serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Program agihan sumbangan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih," katanya.
Beliau berkata kerjasama kedua-dua pusat khidmat masyarakat itu mencerminkan usaha berterusan dalam menyantuni keperluan rakyat, khususnya menjelang musim perayaan," katanya.
Justeru, Mohd Hafiz berharap sumbangan berkenaan dapat menceriakan penerima serta membantu membuat persiapan menyambut Deepavali bersama keluarga tersayang.