Jalur Gemilang
Berita :
Teknologi Qarbogrow Berpotensi Tingkat Produktiviti Padi Luar Jelapang
Teknologi Qarbogrow Berpotensi Tingkat Produktiviti Padi Luar Jelapang
Rohayati Ripin
56 minit yang lepas
57

SETIU, 7 November – Teknologi biostimulan Qarbogrow yang berfungsi merangsang proses fotosintesis tanaman padi berpotensi menjadi pendekatan baharu dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, khususnya di kawasan luar jelapang di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, keberkesanan teknologi yang dibangunkan Syarikat Qarbotech Sdn. Bhd. itu sedang dinilai menerusi pelaksanaan petak kajian seluas 300 hektar melibatkan kawasan Besut dan Setiu.

Menurutnya, teknologi berkenaan berfungsi sebagai penggalak fotosintesis bagi membantu tanaman memanfaatkan cahaya matahari dengan lebih cekap, sekali gus berpotensi mempercepat pertumbuhan tanaman, meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien serta memperbaiki hasil dan kualiti tuaian.

"Antara cabaran utama sektor penanaman padi ketika ini ialah perubahan cuaca, peningkatan kos input pertanian serta keperluan meningkatkan produktiviti bagi memastikan pengeluaran makanan negara terus terjamin.

"Justeru, penggunaan teknologi pertanian moden seperti biostimulan Qarbogrow perlu dinilai sebagai salah satu pendekatan untuk membantu pesawah meningkatkan prestasi tanaman," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Walkabout  melalui Keberkesanan Teknologi
Biostimulan Qarbogrow di Bukit Jeruk, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan petak kajian di Skim Pengairan Bukit Jerok dan Skim Pengairan Kepala Gajah, Besut sahaja melibatkan kawasan seluas 129 hektar dengan penyertaan 85 pesawah.

Kata Dr. Azman, penilaian terhadap teknologi itu bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan hasil padi, malah perlu mengambil kira kos penggunaan, pulangan ekonomi dan manfaat keseluruhan kepada pesawah.

"Keutamaan kita bukan sekadar meningkatkan hasil pengeluaran, tetapi memastikan kos pengeluaran dapat dioptimumkan supaya pesawah memperoleh keuntungan bersih yang lebih baik," ujarnya.

Berdasarkan data Jabatan Pertanian, keluasan kawasan penanaman padi luar jelapang di Terengganu adalah 8,325 hektar melibatkan 2,467 pesawah, manakala kawasan dalam jelapang pula meliputi 8,970 hektar dengan penyertaan 2,030 pesawah.
Dalam perkembangan berkaitan, bleiau berkata kadar sara diri (SSR) beras negara meningkat daripada 42 peratus pada 2024 kepada 48 peratus pada 2025, iaitu peningkatan enam mata peratusan.

"Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh pengeluaran padi tempatan bagi memenuhi keperluan bekalan makanan negara," ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi dammenjaga kebajikan serta pendapatan pesawah melalui pelbagai insentif, bantuan projek Jabatan Pertanian dan sokongan agensi berkaitan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan