Jalur Gemilang
Berita :
'Kahwin Percuma' Realisasikan Impian Khairul, Balqis
'Kahwin Percuma' Realisasikan Impian Khairul, Balqis
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
57

HULU TERENGGANU, 7 November – Impian mendirikan rumah tangga tidak seharusnya terhenti hanya kerana kekangan kewangan, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Hasrat untuk menamatkan zaman bujang selepas sekian lama bertunang akhirnya menjadi kenyataan buat Muhammad Khairul Mazlan, 23, dari Kampung Bukit Tok Beng apabila terpilih menyertai program Walimatul Urus Perdana 2026.

Mengakui tidak pernah menyangka berpeluang menikmati kemudahan tersebut, Khairul berkata, penyertaan dalam program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu banyak membantu meringankan beban kewangan, terutama ketika keadaan ekonomi tidak menentu.

Menurutnya, dia mula mengetahui mengenai program berkenaan selepas melihat poster hebahan Walimatul Urus Perdana yang dikongsikan YPKT sebelum berbincang dengan bakal isterinya, Ilanda Balqis Mohd Zaimi, 19, dari Felda Tersat, Ajil.

"Sebenarnya kami sudah lama bertunang dan dalam tempoh itu sedang mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga.

"Apabila ternampak poster program ini, saya berbincang dengan pihak perempuan dan dia bersetuju. Saya terus membuat permohonan dan Alhamdulillah, terpilih.

"Saya amat bersyukur kerana program ini banyak membantu mengurangkan kos perkahwinan, sekali gus membolehkan kami menjimatkan perbelanjaan untuk keperluan lain," katanya.

Pasangan itu antara 16 pasangan yang diraikan dalam Majlis Resepsi Walimatul Urus Perdana 2026 Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Sivik Kuala Telemong, di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun; ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh bersama isteri serta ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam ucapannya, Rosol berkata, program berkenaan merupakan penganjuran kali kesembilan yang bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan pasangan dan keluarga, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Katanya, YPKT membelanjakan  RM6,200 bagi setiap pasangan yang menyertai program berkenaan sebagai usaha membantu mereka memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih baik.

Beliau turut menasihatkan pasangan pengantin supaya sentiasa menjadikan solat sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian, selain mengamalkan sikap saling memahami dan bertolak ansur dalam mengharungi kehidupan sebagai suami isteri.

"Walau apa sahaja keadaan dan cabaran yang dihadapi dalam rumah tangga, jangan sesekali mengabaikan solat. Jadikan ia sebagai asas dan panduan dalam membina keluarga yang harmoni," katanya.
Untuk rekod, penganjuran Walimatul Urus Perdana peringkat negeri Terengganu tahun ini menyaksikan seramai 193 pasangan diraikan menerusi majlis resepsi yang diadakan mengikut kawasan Parlimen masing-masing.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan