Jalur Gemilang
Berita :
Enam Tan Bekalan Dihantar ke Pulau Redang, Cukup untuk 2,000 Penduduk Selama Dua Minggu
Enam Tan Bekalan Dihantar ke Pulau Redang, Cukup untuk 2,000 Penduduk Selama Dua Minggu
Adli Mohamad
29 minit yang lepas
27

KUALA TERENGGANU, 5 November – Sebanyak enam tan bekalan makanan dan keperluan asas dihantar ke Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penduduk terputus bekalan ketika musim banjir.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Ismail Kasan berkata, bekalan yang dihantar menggunakan kapal milik Jabatan Laut Malaysia itu dijangka mampu menampung keperluan 2,000 penduduk pulau berkenaan sehingga dua minggu sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat bencana.

Menurutnya, Pulau Redang merupakan destinasi terakhir bagi penghantaran bekalan ke pulau-pulau di Terengganu selepas enam tan bekalan makanan dan keperluan asas dihantar ke Pulau Perhentian pada 26 Oktober lalu.

"Penghantaran hari ini merupakan penghantaran terakhir ke pulau. Dengan enam tan bekalan yang dihantar ini, ia dijangka dapat memenuhi keperluan 2,000 penduduk untuk tempoh dua minggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penghantaran Barang-Barang Keperluan Bencana ke Pangkalan Hadapan Pulau Redang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. 

Ismail berkata, penghantaran bekalan lebih awal penting bagi memastikan penduduk di kawasan pulau tidak berdepan kesukaran mendapatkan makanan dan barangan asas sekiranya laluan pengangkutan terjejas akibat cuaca buruk.

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada persediaan berterusan JKM Terengganu bagi memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas akibat bencana dapat disalurkan tepat pada waktunya.


 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan