Jalur Gemilang
Berita :
Lima Rumah Terbakar di Kampung Laut, Tiga Musnah Sepenuhnya
Lima Rumah Terbakar di Kampung Laut, Tiga Musnah Sepenuhnya
Muhammad Hafiz Sahidi
3 jam yang lepas
32

KUALA TERENGGANU, 5 November 2026 – Tiga daripada lima buah rumah di Kampung Laut, Kuala Terengganu musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi, manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus setiap satu.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka dan tangan ketika cuba menyelamatkan sebuah motosikal daripada dijilat api.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu tiba di lokasi lima minit kemudian.


Seramai 27 anggota bomba dari BBP Kuala Terengganu dengan bantuan BBP Jalan Kota digerakkan ke lokasi menggunakan jentera FRT, LFRT, CFRT dan EMRS bagi menjalankan operasi pemadaman.

Bagaimanapun, laluan yang sempit serta halangan di kawasan berkenaan menyukarkan pergerakan jentera bomba untuk memasuki lokasi kebakaran.

Mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.14 pagi, manakala operasi susulan masih diteruskan.


Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Payong turut mengambil tindakan segera dengan hadir ke lokasi bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terjejas serta menghulurkan bantuan awal.

Antara bantuan yang disediakan termasuk penginapan sementara di homestay bagi membolehkan ahli keluarga mangsa mendapatkan tempat berteduh dan berehat sementara waktu susulan kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan