Jalur Gemilang
Berita :
JPS Perkukuh Sistem Pemantauan, Amaran Awal Banjir di Terengganu
JPS Perkukuh Sistem Pemantauan, Amaran Awal Banjir di Terengganu
Rohayati Ripin
46 minit yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 5 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menggunakan sistem pemantauan hidrologi dan ramalan banjir bagi membantu pihak berkuasa serta penduduk di kawasan berisiko membuat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah JPS Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, sistem berkenaan mampu menyokong pengesanan risiko banjir sehingga tujuh hari lebih awal, manakala amaran banjir monsun boleh dikeluarkan dua hari sebelum kejadian.

Menurutnya, keupayaan itu disokong penggunaan stesen telemetri hidrologi, kamera litar tertutup (CCTV) dan siren amaran banjir yang berfungsi memantau keadaan semasa serta memberi amaran kepada penduduk.

"Stesen telemetri hidrologi menghantar data hujan dan paras air sungai secara masa nyata untuk tujuan pemantauan serta analisis potensi banjir.

"CCTV pula membolehkan keadaan sungai dan kawasan berisiko dipantau secara visual, manakala siren digunakan untuk memberikan amaran kepada penduduk supaya mengambil tindakan keselamatan dengan segera," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Bagaimanapun, Osman berkata, tempoh amaran sebenar bergantung kepada lokasi lembangan sungai, intensiti dan tempoh hujan, perubahan paras air serta keadaan setempat.

Katanya, maklumat ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan menerusi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) disalurkan kepada agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk penyelarasan tindakan dan hebahan.

Sehubungan itu, penduduk khususnya di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti hebahan rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga.

Sementara itu, Osman berkata, keupayaan sungai dan sistem saliran di Terengganu menampung aliran air ketika hujan lebat berterusan berbeza mengikut lembangan sungai.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan penilaian teknikal khusus dengan mengambil kira purata taburan hujan tahunan negeri sebanyak 3,612 milimeter bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Katanya, kapasiti sungai, bentuk muka bumi, hujan berterusan, air pasang surut, perubahan guna tanah dan tahap penyelenggaraan infrastruktur antara faktor yang mempengaruhi risiko banjir.

"Bagi menentukan tahap keupayaan tersebut, penilaian hidrologi dan hidraulik perlu dilaksanakan, termasuk melalui pemodelan hidrodinamik.

"Pemodelan ini mensimulasikan aliran sungai, kapasiti saliran, paras air dan kawasan yang berpotensi mengalami limpahan dengan mengambil kira data hujan, rekod banjir serta senario hujan berkaitan," katanya.

Beliau berkata, JPS turut menggunakan pendekatan bersepadu menerusi kajian Pelan Pengurusan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) Lembangan Sungai dan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA).

Menurutnya, hasil kajian berkenaan digunakan untuk mengenal pasti punca banjir, keperluan menaik taraf infrastruktur serta merancang projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berdasarkan keutamaan risiko dan kesediaan pelaksanaan.

Dalam masa sama, beliau berkata, penyelenggaraan sungai dan sistem saliran serta pemantauan paras air perlu diteruskan bagi mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat berterusan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan