Harga bahan mentah naik, persaingan harga pula semakin sengit. Akhirnya, tekanan pasaran dunia sampai ke sebuah kilang di Kerteh, Kemaman.
CJ Bio Malaysia akan menamatkan operasi secara berperingkat bermula 15 Oktober 2026. Keputusan itu melibatkan 383 pekerja yang kini perlu memikirkan pekerjaan dan pendapatan selepas ini.
Menurut penjelasan pengurusan syarikat, keputusan tersebut dibuat oleh ibu pejabat syarikat di Korea Selatan. Sebab yang diberikan ialah cabaran ekonomi global, kenaikan harga bahan mentah dan persaingan harga daripada pengeluar antarabangsa, khususnya China.
Apa sebenarnya yang dibuat oleh CJ Bio?
Syarikat swasta dari Korea Selatan ini menghasilkan bio-metionina, sejenis asid amino yang digunakan dalam makanan ternakan. Kemudahan bersepadu CJ dan Arkema di Kerteh dirasmikan pada 2015.
Namanya mungkin asing bagi orang ramai, tetapi produknya digunakan oleh pengeluar makanan ternakan. Operasinya juga mempunyai hubungan dengan industri kimia kerana Arkema membekalkan bahan yang diperlukan untuk menghasilkan metionina.
Masalah bermula apabila harga jualan perlu bersaing, sedangkan kos menghasilkan produk semakin tinggi.
Bayangkan seorang peniaga terpaksa menjual pada harga lebih rendah untuk mengekalkan pelanggan, tetapi bahan yang dibelinya semakin mahal. Jualan masih ada, namun baki selepas menanggung kos semakin kecil.
Gambaran mudah ini membantu kita memahami tekanan yang disebut oleh CJ Bio. Persaingan pengeluar China menjadi antara faktornya, bersama kenaikan kos dan keadaan ekonomi global.
Namun, apabila sebuah kilang ditutup, penjelasan ekonomi kadangkala tenggelam dalam cerita politik.
Mengaitkannya dengan keputusan “32-0” atau Dr. Sam mungkin mudah menarik perhatian. Tetapi kaitan itu tetap memerlukan bukti. Angka pilihan raya tidak menjelaskan harga bahan mentah atau keputusan sebuah ibu pejabat di Korea Selatan.
Setakat penjelasan yang diumumkan, keputusan menamatkan operasi datang daripada pihak syarikat. Tiada asas dalam penjelasan tersebut untuk mengatakan kerajaan negeri mengarahkan kilang ditutup.
Bagi pekerja pula, perkara paling penting sekarang ialah apa yang menanti mereka selepas ini.
Komitmen pembayaran pampasan dalam prosess untuk diberikan oleh syarikat kepada pekerja. T-HRDC sedang membantu memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan, manakala PERKESO menjalankan temu duga berfokus. MIDA pula sedang mencari pelabur yang sesuai untuk mengambil alih atau menggantikan operasi di tapak berkenaan.
Usaha ini belum bermakna semua masalah sudah selesai. Pekerja masih memerlukan pekerjaan yang sesuai, sementara tapak kilang perlu kembali digunakan.
Selepas kira-kira 11 tahun bertapak di Kerteh, CJ Bio kini ke penghujung.