Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Sedia RM11.2 Juta Bekalan Hadapi Banjir
Terengganu Sedia RM11.2 Juta Bekalan Hadapi Banjir
Adli Mohamad
45 minit yang lepas
31

KUALA TERENGGANU, 5 November – Kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan RM11.2 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu bagi memastikan bekalan keperluan penduduk mencukupi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir tahun ini.

Pengarah JKM Terengganu, Ismail Kasan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.4 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri manakala RM2.8 juta lagi disalurkan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sebanyak RM4.8 juta telah dibelanjakan bagi fasa pertama penyediaan bekalan bencana, termasuk keperluan untuk menampung kira-kira 141,000 penduduk sekiranya kesemua 541 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri dibuka secara serentak.

Katanya, persiapan awal turut membabitkan penempatan bekalan di 127 Pengkalan Hadapan, selain stor bencana di peringkat daerah dan mini depo, khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir.

"Kita mempunyai 127 Pengkalan Hadapan di Terengganu, selain stor-stor bencana di peringkat daerah dan mini depo bagi memastikan keperluan di kawasan panas banjir dapat disediakan lebih awal.

"Ini merupakan penghantaran terakhir kita untuk menempatkan bekalan di Pengkalan Hadapan. Secara keseluruhannya, anggaran bagi keperluan ini adalah sekitar RM4.8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penghantaran barangan keperluan bencana di Jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Sementara itu, Ismail berkata, seramai 330 kakitangan JKM Terengganu bersedia digerakkan ke seluruh negeri bagi membantu operasi pemindahan mangsa, pengurusan PPS serta penyampaian bantuan sekiranya berlaku banjir.

Menurutnya, JKM turut mempunyai 11 kaunselor berdaftar yang akan memberikan khidmat sokongan psikososial kepada mangsa yang ditempatkan di PPS.

Katanya, perkhidmatan berkenaan penting bagi membantu mangsa yang berdepan tekanan emosi, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal atau mengalami kerosakan harta benda akibat banjir.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan