Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Bakal Lantik Wakil Masyarakat Bukan Melayu Sebagai ADUN
Terengganu Bakal Lantik Wakil Masyarakat Bukan Melayu Sebagai ADUN
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
211

KUALA TERENGGANU, 8 November – Kerajaan Terengganu memutuskan untuk melantik seorang wakil masyarakat bukan Melayu daripada Parti Gerakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bagi membolehkan komuniti itu mempunyai suara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang membenarkan pelantikan wakil daripada kaum atau gender yang tidak mempunyai perwakilan dalam DUN.

“Kita buat keputusan, setelah mempertimbangkan pelbagai perkara, untuk kita lantik seorang Cina daripada ahli Gerakan sebagai ADUN lantikan.

“Moga-moga ini merupakan satu berita yang baik untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa lawatan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN berkata, keputusan itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dengan masyarakat pelbagai kaum, khususnya komuniti Cina.

Menurutnya, wakil yang bakal dilantik itu juga diharapkan dapat menjadi penghubung dalam menyampaikan pandangan, keperluan dan kepentingan komuniti berkenaan kepada kerajaan negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman tersebut merupakan kali pertama keputusan berhubung pelantikan wakil masyarakat Cina itu dibuat secara terbuka.

Langkah berkenaan sekali gus dilihat membuka ruang kepada penyertaan masyarakat berbilang kaum dalam proses pentadbiran dan pembangunan negeri, selain memastikan kepentingan mereka turut mendapat perhatian di peringkat DUN.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan