• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

21 Peserta RTB Pertanian Terima ‘Borang 5A’

 

HULU TERENGGANU 12 September - 21 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kampung Lerek menerima notis borang 5A, setelah setelah hampir lima tahun memohon tanah berkenaan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, pihaknya amat komited untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan permohonan tanah di kawasan DUN ini. 

"Alhamdulillah, ini adalah usaha yang kita laksanakan dan terus berterusan. 

“Kita akan terus sedaya upaya membatu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) seusai Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Kampung Lerek dan Pengundian Lot RTB Kampung Dusun, di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, baru-baru ini.

Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah pengundian lot tanah 35 peserta RTB Kampung Dusun. 

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh. 

Tambah Safari lagi, kerajaan telah berjaya menyelesaikan masalah tanah diantaranya RTB Felcra Seberang Kuala Jeneris 1 yang telah tertangguh selama hampir 40 tahun serta RTB Felcra Banggol Gajah Mati fasa 2,3 dan 4 dan Felcra Kampung Tapah. 

“Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan. 

"Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB pertanian Macang Gerahim dan RTM tapak rumah Bukit Jelutong 2 di Mukim Hulu Telemong,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Kamaruddin Yaakub dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat.