• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

12 Pasangan Ditahan Dalam Ops Bonceng

MARANG,  21 Ogos - Seramai 12 pasangan ditahan penguatkuasa agama dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya di Kampung Rhu Renggeh semalam kerana membonceng motosikal dan menaiki kereta bersama bukan mahram.

Ketua Skuad AMAR Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, operasi itu disertai pihaknya dalam membantu dan memberi tenaga tambahan kepada pasukan trafik dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pejabat Agama Daerah Marang (Unit Penguatkuasaan).

Ulas Nasaruddin, individu berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan seawal jam 8.30 hingga 11.30 malam.

"Operasi diketuai Pejabat Agama Daerah Marang dibantu SKUAD AMAR dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dijalankan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) berkait perbuatan tidak sopan di tempat awam.

"Jika sabit kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi di sini, pada sabtu.

Hadir sama dalam operasi, Setiausaha PAS Kawasan Marang Merangkap ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Penasihat Skuad AMAR Negeri Terengganu, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Skuad AMAR Negeri Terengganu Ustaz Yusuf Abdul Hadi.

Menurut Nasaruddin, kesemua pasangan turut diberi notis ini supaya hadir ke Pejabat Agama Daerah Marang untuk sesi khidmat nasihat.

"Jadi, kesemua pasangan penunggang, pembonceng motosikal dan menaiki kereta yang ditahan dalam operasi itu telah diberi notis arahan hadir ke pejabat Agama Daerah bagi sesi khidmat nasihat.

"Kita mengharapkan ibu bapa agar memantau pergaulan anak-anak terutama melibatkan keluar pada lewat malam," jelasnya.

Menurut Nasaruddin, Skuad AMAR akan terus memberi komitmen dalam membantu Pejabat Agama Daerah Marang dalam operasi-operasi mendatang dari masa ke masa di daerah bagi membendung perlakuan dan aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa.

 


Tag: