• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

279 Petani Terengganu Terima Bantuan RM650,000

Oleh : Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN, 7 September - Seramai 279 petani di seluruh Terengganu menerima pelbagai bentuk bantuan pertanian berjumlah RM650,000 daripada kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian. 

Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, bantuan berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi sektor tersebut.

"Memandangkan 70 peratus rakyat Terengganu terlibat di dalam sektor pertanian, banyak masalah yang dihadapi oleh golongan ini dan kerajaan negeri amat mengambil berat," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Input Dan Mekanisasi Ladang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim di Pusat Pembangunan Pertanian Jerangau di sini semalam.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. 

Dalam majlis tersebut, seramai 35 orang penerima, 29 orang dari Dungun dan sembilan orang dari Kemaman menerima bantuan dalam kategori Input Pertanian dan Mekanisasi Ladang. 

Bantuan Input Pertanian merangkumi penanam cili yang terkesan akibat kejatuhan harga pada tahun 2021 (Jan-Jun 2021, mereka menerima baja fertigasi, Cocopeat, benih cili Sakata 10gm  dan Foliar. 

Manakala Mekanisasi Ladang pula menerima Pam Air Diesel 3”, Pam Air Diesel 2”  dan Pam Elektrik. 

Jelas Zulkepli, fokus bantuan adalah kepada peserta yang aktif dan mempunyai masalah pam air sedia ada rosak serta tidak praktikal untuk dibaiki atau tiada kemudahan pam.

Dalam pada itu, penerima bantuan, Muhamad Abdullah dan rakannya, Ghani Abu Bakar yang merupakan Peserta Berkelompok Kampung Baru Kerteh bersyukur atas bantuan terbabit.

"Berterima kasih sungguh kepada kakitangan Pejabat Pertanian yang sentiasa tahu apa keperluan petani," katanya yang telah menceburi bidang pertanian sejak tahun 70-an.


Tag: