• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

3 Sekolah Di Kuala Terengganu Tutup Akibat Banjir

KUALA TERENGGANU , 20 November- Tiga buah sekolah di sekitar daerah ini terpaksa ditutup apabila mula dinaiki air sejak awal pagi tadi susulan hujan lebat yang melanda sejak semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata tiga sekolah yang terjejas banjir di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.

 “Kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air dan menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa menyebabkan pihak pengurusan telah memutuskan untuk tidak membenarkan murid-murid hadir ke sekolah yang terjejas kerana isu keselamatan mereka.

"Bagaimanapun, semua guru dan murid yang terlibat akan belajar seperti biasa melalui mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR,”katanya.

Dalam masa sama, jabatan juga sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah yang lain kerana hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan segera kepada ibu bapa untuk tindakan mereka.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu, bermula semalam hingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan, ia membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.