• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

30 Pelajar Terengganu Terima Anugerah Cemerlang STEM ExxonMobil 2018

Pelajar cemerlang STEM 2018.

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Seramai 30 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah harian di negeri ini menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018.

Masing-masing yang turut cemerlang dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,500 seorang berserta sijil.

Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller berkata, anugerah itu adalah seiring dengan usaha syarikat untuk memupuk dan melahirkan bakat muda dalam bidang Sains, Matematik, teknologi dan inovasi.

Exxonmobil bergantung kepada teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan tenaga semasa.

“Jesteru, kami amat prihatin terhadap pentingnya usaha pembangunan pendidikan STEM serta aktif menyumbang dalam membentuk tenaga kerja mahir di masa hadapan dalam bidang ini,” katanya.

Ernest Miller (empat dari kanan).
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato' Dr. Norazah Mohd Nordin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Rosman Roslan.

Miller turut berkata, pada tahun ini ExxonMobil memperuntukkan dana kepada Terengganu bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dengan kerjasama rakan strategik yang lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“ExxonMobil turut merasa berbesar hati kerana berpeluang untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM500,000 untuk menaja program-program kerjasama pendidikan,” tambah beliau.

Pelajar cemerlang STEM dari SMK Lela Segara.
Sempena dengan majlis itu juga, empat sekolah harian terbaik STEM yang memperoleh prestasi A turut menerima ganjaran sebanyak RM2,000 dan sijil.


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, SMK Bukit Sawa bagi subjek Fizik dan SMK Belara untuk mata pelajaran Kimia dan Biologi.

Ini menyaksikan SMK Belara menerima Anugerah Sekolah Menengah Harian Terbaik Keseluruhan STEM 2018 dengan hadiah wang tunai RM3,000 manakala daerah Kemaman  dianugerahkan Daerah Peningkatan Peratusan Tertinggi Calon STEM 2018 serta menerima wang tunai RM2,000 dan sijil.


Tag: