• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

30 Vs 10, Kupas Realistik Dalam Retorik

BESUT, 8 Ogos- Sekalipun Tawaran 30 Akujanji Barisan Nasional (BN) Terengganu dilihat lebih 'menggiurkan' rakyat negeri itu, parti PAS yang menjadi lawan tunggal dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 merasakan Manifesto PAS lebih realistik.

Calon PAS bagi kerusi DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengundi perlu menilai realiti dalam retorik yang dibentangkan.

"Tawar sebanyak 30 atau lebih, terpulang kepada mereka. Tetapi, seperti mana yang diputuskan kepimpinan kita, manifesto yang kita buat ini berpijak di bumi nyata kerana kita menyedari kemampuan dan menyelaraskan tawaran dengan sumber pendapatan kita.

"Kalau hendak komen kepada akujanji mereka, contohnya mahu memberi RM1,500 sebulan kepada lepasan ijazah yang tidak bekerja (Skim Latihan Graduan).

"Ia suatu angka yang tidak jelas kos dan nilainya tanpa mengambil kira kantung kewangan negeri.

"Bagi saya, ini menimbulkan kerisauan ia tidak akan dapat dilaksanakan (kerana jumlahnya tidak jelas)," katanya.

Tambah Nurkhuzaini, perkara itu jelas memperlihatkan perbezaan antara tawaran daripada kedua-dua pihak.

Jelasnya, walaupun ada sumber kewangan sebagai pentadbir negeri, tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya membelanjakan wang begitu sahaja.

"Apabila kita sebut dalam manifesto, kita jelaskan, contohnya geran sebanyak RM5 juta untuk Tabung Geran Usahawan Belia dan Tabung Bantuan Pertanian, Penternak dan Nelayan sebanyak RM10 juta.

"Di sini, perbezaan jelas antara kedua tawaran berdasarkan logik akal dan disebabkan itu, manifesto yang kita tawarkan lebih nyata untuk dilaksanakan," katanya.

Kenyataan beliau itu diperkukuhkan lagi dengan rekod PAS Terengganu ketika mentadbir negeri pada penggal 2018-2023.

 

Sepanjang pentadbiran, PAS berjaya melaksanakan 20 manifesto yang dijanjikan secara berperingkat walaupun berdepan tempoh kritikal ketika pandemik COVID-19 dan 20 manifesto itu akan terus berjalan.

"Sebelum ini, kita sudah berjaya melaksanakan 20 manifesto dan kali ini kita menggunakan penelitian yang sama oleh pakar-pakar yang sama dikepalai Dato' Dr Alias Razak," katanya.


Tag: