• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

KEMAMAN, 12 Januari - Sekitar 300 tan sampah berjaya dikumpulkan dari seluruh kawasan banjir di daerah Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memaklumkan, sebanyak lima kawasan pengumpulan turut diwujudkan bagi menampung kuantiti sampah yang dipungut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk pasca banjir, kita sudah bersihkan majoriti rumah-rumah terlibat dengan kerjasama beberapa anak syarikat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal Malaysia, pejabat daerah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan.

"Kita juga telah kutip hampir semua sampah untuk dilupuskan.

"Saya jangkakan semua sampah ini akan mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk selesai dilupuskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan proses pengumpulan sampah di Taman Asoka, Chukai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas kemudahan yang disediakan.

"Jutaan terima kasih kerajaan negeri, kerana memberi arahan kepada PBT seluruh negeri untuk menghantar keperluan pengangkutan dan tenaga kerja yang saya anggarkan hampir 100 buah lori bagi membantu kami," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim menyatakan, tapak pelupusan sampah yang baru di Bukit Jemalang turut dibuka memastikan pengurusan sampah berlaku dengan baik.

"Tapak itu sebenarnya dalam perancangan akan dibuka Jun ini, tetapi MPK buat keputusan supaya dibuka segera memandangkan ada keperluan dan ia mempunyai kemudahan yang lebih baik.

"Ini kerana keadaan di tapak pelupusan di Bukit Takal agak padat ketika ini," katanya.

Tambahnya, dijangkakan kuantiti sampah yang terkumpul mungkin meningkat sehingga 500 tan menjelang hujung minggu ini.

"Setiap hari, kira-kira 500 orang kakitangan ditempatkan untuk urus proses pengumpulan. Dijangkakan, hujung minggu ini MPK akan tutup tempat ini.

Manakala, baki sampah yang dianggarkan sekitar 10 peratus lagi akan dikutip dari rumah ke rumah selepas ini," katanya.