• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

34 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Ayam

KUALA TERENGGANU, 10 November- Sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjual ayam pada harga terlalu tinggi sejak penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuatkuasa 1 November lalu. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga tersebut tetapi maklumat berkaitan diperolehi hasil tinjauan daripada pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga.

Menurut beliau, hasil pemantauan pihaknya mengesan sebahagian besar peniaga di pasar awam menjual ayam standard pada harga terlalu tinggi antara RM10.50 sehingga RM11 sekilogram (kg).

"Kita telah membuat pemeriksaan dan telah keluarkan notis tunjuk sebab kepada peniaga untuk berikan maklumbalas kenapa peningkatan harga sedemikian.

"Selepas kita mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis ada penurunan harga selepas itu, " ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, di Mydin Mall di sini, semalam. 

Majlis pengumuman SHMMP Deepavali 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.

Katanya, tidak dinafikan terdapat paras harga terlalu tinggi bagi ayam standard di negeri ini dan ia membabitkan peniaga pasar basah yang mengalami masalah berkaitan kaedah perniagaan. 

"Di pasaraya pula tidak ada masalah kerana dengan kaedah perniagaan yang digunapakai, mereka boleh tawarkan harga yang rendah berbanding penetapan harga yang dibuat sebelum ini.

Justeru katanya, adalah penting untuk pengguna itu sendiri bersama-sama memainkan peranan bagi menurunkan harga mengikut permintaan pasaran.