• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

3,608 Graduan UniSZA Dirai Dalam Konvokesyen Ke-15

KUALA TERENGGANU, 5 November- Seramai 3,608 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 selama empat hari bermula hari ini.

Naib Canselornya, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam berkata, graduan yang diraikan terdiri daripada 111 penerima ijazah doktor falsafah, 76 ijazah sarjana, 110 diploma pascasiswazah pendidikan, 2,057 ijazah sarjana muda dan 1,254 diploma.

"Jumlah ini termasuk 27 graduan sulung program Sarjana Muda Farmasi (Kepujian). Majlis turut meraikan 16 graduan dari Republik Mauritius yang berjaya memperoleh Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) menerusi program pesisir, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 yang disempurnakan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, hari ini.

Katanya, UniSZA buat julung kali turut menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Dato' Dr. Alias Daud, yang merupakan mantan Naib Canselor UniSZA dan juga profesor di Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), UniSZA.

"Manakala Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang berjasa memartabatkan Bahasa Melayu pula dianugerahkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan, " katanya.

Beliau dalam masa sama memaklumkan, selain PhD, majlis konvokesyen terbabit turut menyaksikan penyampaian anugerah lain seperti Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang serta Anugerah Terbaik Fakulti (Pingat Ibnu Al-Baytar) kepada graduan terpilih.