• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Sebanyak empat tan ikan cencaru diagih kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan B40 dan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sumbangan kepada lebih 4,000 keluarga itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi mengurangkan beban rakyat.

“Setiap golongan sasar akan menerima satu kilogram ikan tersebut yang telah diagihkan melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya anggarkan 16,000 orang akan menerima manfaat itu.

“Untuk tempoh seminggu ini kita telah membelanjakan sekitar RM200,000 untuk daerah, sebelum ini kita turut agihkan barangan keperluan harian kira-kira 1,200 bakul makanan berisi beras, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi kepada golongan memerlukan,” katanya selepas Program Bantuan Bekalan Basah di Flat Ladang, hari ini.

JPKK sedang membungkus ikan untuk diagihkan kepada penduduk.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurut Ahmad Amzad, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 10,000 keping roti canai kepada penduduk dan ia dapat membantu menjana ekonomi lebih 30 peniaga roti canai sekitar Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengagihkan bahan mentah seperti ayam kepada golongan memerlukan selain sumbangan 1,200 bakul makanan.

"Keutamaan sumbangan bakul makanan kali ini adalah mereka yang belum terima bantuan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK). Seiring dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dan PKPD, mereka akan hantar sumbangan terus ke rumah penerima,” katanya.

Tambah Ahmad Amzad lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama setiap DUN turut bersedia jika ada sebarang keciciran dalam agihan bantuan yang berlaku.

“Kita juga membuat persiapan jika ada yang tercicir, jika ada orang keputusan bekalan makanan di rumah tolong beritahu kepada wakil rakyat masing-masing, kita akan bantu,” katanya.