• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

456 Pelajar Terima Bantuan Awal Ke IPT

DUNGUN, 22 Oktober - Seramai 456 pelajar dalam Parlimen Dungun yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah menerima bantuan awal pendidikan setakat ini.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sumbangan berkenaan adalah bagi meraikan serta menampung sedikit sebanyak perbelanjaan ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang bakal bergelar mahasiswa.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan telah mula diagih kepada para pelajar sejak bulan Jun yang lalu dan sehingga kini ianya masih diteruskan sekiranya terdapat permohonan daripada pihak pelajar.

Beliau yang ditemui pemberita di pejabatnya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar di daerah ini yang berjaya mendapat tawaran ke IPT selain mengingatkan kepada para pelajar agar menggunakan peluang yang diperoleh sebaik mungkin.

"Gunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya, jangan dipersiakan harapan ibu bapa yang selama ini telah banyak berkorban dalam membesarkan anak-anak.

"Sentiasa berhubung dengan ibu bapa walaupun berada jauh dari penglihatan mereka, sentiasa bertanya khabar kerana berkat doa ibu bapa itulah yang akan mengiringi kita mencapai kejayaan kita dimasa akan datang," ujarnya.

Wan Hassan juga berharap agar sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh pelajar sewajarnya khusus dalam hal-hal berkaitan pembelajaran.


Tag: