47 Pelajar 'Straight' A SPM DUN Sura Dirai

DUNGUN, 11 Jun - Seramai 47 pelajar cemerlang dari DUN Sura yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah diraikan dalam satu majlis penghargaan khas yang berlangsung di Rumbia Villa Resorts, hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa, selain menghargai usaha, pengorbanan dan sokongan daripada ibu bapa serta para pendidik di sebalik kejayaan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, kejayaan pelajar yang mendapat semua A ini adalah bukti bahawa usaha yang bersungguh-sungguh tidak akan sia-sia.

“Kita raikan mereka bukan hanya kerana huruf A di atas kertas, tetapi kerana di sebalik A itu ada air mata, ada keletihan, kurang tidur, dan ada doa ibu bapa serta sokongan masyarakat sekeliling,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja untuk meraikan kecemerlangan, malah menjadi satu dorongan kepada generasi muda DUN Sura agar terus berusaha dan menanam cita-cita tinggi dalam pendidikan.

“Kita mahu semua anak DUN Sura rasa dihargai, tidak kira latar belakang mereka. Hari ini kita sambut yang dapat semua A, insya-Allah 25 Jun nanti kita akan raikan pula pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas,” tambah beliau.

Beliau turut berpesan agar pelajar yang berjaya terus melangkah dengan hati yang rendah, kerana kejayaan bukan tiket untuk bermegah, tetapi amanah untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan agama.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada semua pelajar yang diraikan, serta kehadiran ibu bapa sebagai tanda sokongan.
 

 


Tag: