KUALA TERENGGANU, 5 September – Seramai 48 bayi di seluruh Terengganu bergelar ‘Bayi Permata Maulidur Rasul’ apabila lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kelahiran kesemua bayi pada tarikh bersejarah bertepatan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW memberi makna yang sangat istimewa.
Menurutnya, mereka juga turut diraikan melalui program Permata Maulidur Rasul sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan terhadap kelahiran bayi yang datang pada hari istimewa ini.
“Alhamdulillah, kelahiran 48 bayi pada hari ini amat bermakna.
"Kita mendoakan agar mereka membesar dengan sihat, menjadi anak soleh dan solehah serta pewaris ummah yang membawa rahmat kepada negeri dan negara,” katanya selepas meraikan bayi Permata Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan dan hadiah kepada ibu bapa bayi berkenaan sebagai tanda kasih serta doa daripada kerajaan negeri.
Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi kenangan bermakna buat keluarga terlibat malah mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai kelahiran generasi baharu.