• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

49,000 Benih Ikan Dilepaskan di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 17 Oktober – Sebanyak 49,000 benih ikan dilepaskan di sungai Kuala Berang, Kampung Dusun di sini bagi memperkayakan sumber ikan asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata sebanyak empat jenis benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada kelah, baung, terbol dan tapah sungai.

Katanya, program ini dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

“Usaha ini sangat baik dan penting untuk menjaga sumber makanan kerana ikan merupakan keperluan utama masyarakat di negeri ini.

 “Hulu Terengganu mempunyai sungai dan persekitaran yang sesuai untuk ikan membiak bagi generasi akan datang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program pelepasan benih ikan serentak seluruh Malaysia 2023 peringkat Negeri Terengganu bertempat di sungai Kuala Berang, Dataran Kampung Dusun di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Tambah Mohd Zawawi, tujuan program pelepasan benih ikan itu dilakukan adalah bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat.

“Selain bagi menjamin bekalan makanan selaras Dasar Sekuriti Makanan,” katanya.

Pada program sama, turut diadakan majlis agihan bantuan kepada para nelayan di daerah berkenaan.

Program yang berlangsung pada jam 9 pagi tersebut berjalan dengan lancar dengan cuaca baik sepanjang program berlangsung.

 


Tag: