5 Negara Bakal Turut Serta TIBW25

KUALA TERENGANU, 3 Julai - Lima negara telah dikenalpasti untuk menyertai Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25), program anjuran daripada kerjasama antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mewakili kerajaan negeri bersama East Cost Motorcycle Club (ECMC).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, kehadiran pengunjung dari lima negara termasuk Malaysia itu akan menjadi antara penyumbang untuk mencapai sasaran 150,000 pengunjung.

Razali (kanan tengah) bersama Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu.

"Saya difahamkan ada 'bikers' daripada Thailand, ada bikers daripada Indonesia, Singapura dan juga Brunei yang akan datang.

"Jadi saya yakin dan percaya sasaran kita untuk menerima kunjungan 'bikers' dan juga pelancong yang akan melihat pertunjukkan daripada 'International Bike Week' selama lima hari ini akan mencapai sasaran kita," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan selain persembahan pentas, acara lain seperti aksi lagak ngeri, perlumbaan perlahan, pameran kenderaan, persembahan Brass Band serta jualan usahawan tempatan, TIBW25 akan menyaksikan kehadiran lebih 40 kelab permotoran dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, kehadiran pelancong dari dalam serta luar negara bukan sahaja akan tertumpu kepada TIBW25, namun ia membuka peluang pendedahan kepada pengunjung luar untuk melawat destinasi terpilih yang merupakan produk pelancongan di Terengganu.

Turut hadir, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Mengulas lanjut, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, kebanyakan penunggang motosikal yang akan hadir ke TIBW25 terdiri daripada peserta berkumpulan serta individu.

"Ketika kami menjalankan promosi TIBW25 sebelum ini, kami sempat bertemu dengan ketua-ketua dan presiden kumpulan 'bikers', termasuk mereka yang mewakili peserta individu yang turut akan hadir ke acara ini.

"Setakat ini, data yang diperoleh menunjukkan kehadiran sekitar 100 buah motosikal dari Thailand dan 80 dari Singapura, manakala peserta dari Indonesia dan selainnya masih dalam proses pengesahan memandangkan sebahagian besar terdiri daripada individu dan kumpulan kecil," jelasnya.