• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

50 Murid SRIDI Bersedia Mulakan Sesi 2019


Oleh : Muhd Afiq Zohir

BESUT, 26 Disember – Seramai 50 murid Tahun Satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) bersedia untuk memulakan sesi persekolahan 2019.

Sesi pendaftaran yang akan menempatkan murid dalam dua kelas bermula pada jam 10 pagi bertempat di Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, usaha menubuhkan sekolah rendah Islam ini amat bertepatan dengan hala tuju Kerajaan Negeri Terengganu.

“Penubuhan sekolah ini bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang gemilang, tetapi ia juga dapat melahirkan generasi yang mempunyai modal insan yang cemerlang.

"Kita mahu melahirkan generasi yang sentiasa menjaga adab serta tatasusila dengan ibu bapa, guru dan masyarakat di sekeliling mereka,"katanya.



Katanya, SRIDI akan menggunakan bangunan SMA Maarif terlebih dahulu sebelum bangunannya sendiri siap sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar orang ramai sentiasa menyokong usaha murni kerajaan negeri dalam memastikan Terengganu maju, berkat dan sejahtera.



Tag: