• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

50 Peserta Tawan Puncak Temiang


Para peserta merakamkan gambar di puncak bukit.
Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 31 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong bersama 50 peserta berjaya menawan Bukit Temiang yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, semalam.

Aktiviti tajaan Pejabat DUN, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Pengkalan Berangan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Temiang yang disertai masyarakat setempat itu merupakan projek rintis jalan sempena program Terengganu Merdeka Hike 2019 yang akan berlangsung pada 24 Ogos ini.

Menurut Sulaiman, bukit tersebut akan menjadi salah satu daripada lapan bukit lain sebagai lokasi tumpuan pendaki dalam aktiviti tahunan itu.
Antara pemandangan dari puncak bukit Temiang.

"Alhamdulillah, kita berjaya mencapai matlamat menyediakan rintis serta meninjau keadaan kawasan dan laluan yang akan digunakan ke puncak bukit ini.

“Terima kasih kepada saudara Yunus Mat Ali yang menjadi pemandu pendakian kita pada hari ini." katanya kepada pemberita Urusetia Darul Iman (UPDI) semalam ketika ditemui di bukit tersebut.

Tambahnya, cabaran yang memakan masa dua jam pendakian di bukit setinggi 328 meter dari paras laut itu bakal menjadikannya tarikan baharu riadah setempat.

Aktiviti itu turut disertai oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu Lt. Kol.(PA)Che Adam A. Rahman.
Pendaki berdoa sebelum memulakan pendakian.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK, Shafei Muda menzahirkan rasa terima kasih kepada Sulaiman atas sokongan terhadap usaha itu.

"Terima kasih YB yang bukan sahaja menyokong, malah memacakkan sendiri papan tanda di puncak bukit ini.

"Sempena kejayaan bersama ini, seramai 50 orang peserta telah bersetuju menamakan puncak Bukit Temiang dengan nama SS Peak (Puncak Sulaiman Sulong)," katanya.

Sulaiman bergambar di penunjuk aras ketinggian Bukit Temiang.



Tag: