• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

50 Sekolah Terima Sumbangan MP Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Sept - Sebanyak 50 buah sekolah di kawasan Kuala Terengganu telah menerima sumbangan Ahli Parlimennya, Ahmad Amzad Hashim dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4 juta.

Amzad ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Serahan Replika Cek Sumbangan untuk Program Pengindahan Dataran Alamanda di SMK Chung Hwa Wei Sin, di sini, baru-baru ini menjelaskan, sumbangan tersebut merupakan salah satu cara pihaknya menyampaikan bantuan kepada rakyat.

"Dalam tempoh enam bulan, kita telah membelanjakan sebanyak RM4 juta dan menjadi antara parlimen yang cergas menyampaikan bantuan serta sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, selain sekolah bantuan  turut diagihkan kepada 108 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berada di Kuala Terengganu.

"Bantuan tersebut adalah dalam bentuk Projek Mesra Rakyat (PMR) berupa peralatan pengurusan pejabat atau pembangunan fizikal yang masing-masing bernilai antara RM10,000 hingga RM20,000 dengan perbelanjaan lebih dari RM2 juta.

“Kita juga banyak memberi bantuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Kuala Terengganu ini,” jelasnya.