• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah

KUALA TERENGGANU,17 Februari - Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) hari ini menghantar sebanyak 50 ribu pelitup muka dan 10 ribu naskhah al-Quran ke Sabah dalam usaha membantu negeri tersebut menghadapi penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Program Bayu Kasih 2021 itu merupakan kerjasama UBSNT bersama Iman Care sebagai penaja utama akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa NGO terlibat di sana untuk diagihkan.

"Barangan ini akan dihantar dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menggunakan KD Mahawangsa yang mana rombongan ini akan bergerak ke Kota Bharu mengambil baki barangan yang bakal dibawa dan seterusnya ke Lumut untuk dinaikkan ke kapal yang terus ke Sabah.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha ini. Mudah-mudahan segala seumbangan ini akan memberikan kelegaan dan membantu sedikit sebanyak situasi di sana yang kita sedia maklum menghadapi situasi yang agak luar biasa selain amat memerlukan keperluan ini," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan pelepasan delegasi tersebut di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor serta wakil-wakil dari NGO terlibat.