• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

52 Hafiz MTQT Terima Anugerah Graduasi



 
Nik Karimah Nik Abdul Ghafar (dua dari kanan) menerima Anugerah Khas MTQT dari Ahmad Shah (dua dari kiri).
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 16 April - Meraih keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Syahadah Tahfiz dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) adalah sangat penting bagi meneruskan cita-cita menuntut ilmu di peringkat universiti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, hal itu kerana keputusan peperiksaan tersebut adalah sebagai tiket bagi melayakkan seseorang pelajar untuk memasuki institut pengajian tinggi.

"Hanya pelajar mempunyai keputusan yang cemerlang sahaja akan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti dan kolej dalam serta luar negara daripada ribuan yang memohon," katanya.

Anak Ahli Parlimen Setiu, Haji Shaharizukirnain Abd Kadir (tengah) turut bergraduasi di TER Kuala Ibai semalam.


Beliau berkata demikian dalam catatan Kata-kata Aluan Buku Cenderahati Majlis Istiadat Graduasi dan Khatam al-Quran Kali Ke-28 Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT) di Dewan Kenanga Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, di sini, semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Haji Ahmad Shah Muhamed mewakili beliau merasmikan majlis tersebut.

Ahmad Shah dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus menyokong usaha ke arah melahirkan generasi yang menghafal al-Quran di samping cemerlang dalam bidang akademik.

Antara pelajar MTQT yang bergraduasi di TER Kuala Ibai semalam.
Beliau mengharapkan agar pelajar tahfiz MTQT mengekalkan kegemilangan ilmu sehingga berjaya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan keputusan yang cemerlang sepertimana sejarah kecemerlangan dalam majlis graduasi tersebut.

Di majlis itu,  seramai 52 orang pelajar lepasan STAM menerima anugerah graduasi dan 19 orang dari mereka memperolehi keputusan Mumtaz, manakala 24 orang Jayyid Jiddan dan selebihnya mendapat pangkat Jayyid.

Tiga pelajar masing-masing menerima Anugerah Khas MTQT, Anugerah Imam 'Asim Al-Kufi dan Anugerah Imam Nafi' Al-Madani.

Pelajar berkenaan ialah Nik Karimah Nik Abdul Ghafar, Nur Izzah Hanim Mahadi dan Muhammad Nurhakim Mohd Razali.

Perarakan masuk Majlis Istiadat Graduasi dan Khatam Al-Quran Kali-28 MTQT di Dewan Kenanga Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai semalam.

Ahmad Shah menyampaikan sijil anugerah dan Syahadah Tahfiz kepada semua pelajar tersebut.

Sementara itu 19 orang pelajar lelaki dari maahad tersebut akan mengikuti Kuliah Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar Mesir dan akan berlepas ke negara itu pada 19 April ini.

Sementara empat pelajar lelaki berlepas ke Mesir minggu lepas untuk mengikuti pengajian yang sama di universiti tersebut.

Manakala seorang pelajar perempuan ke Universiti Basaksehir, Turki lebih awal dan sedang mengikuti pengajian bahasa Arab di universiti berkenaan.

Sementara selebihnya akan belajar di universiti-universiti tempatan dalam pelbagai bidang pengajian.


Tag: