• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

60 Penjawat Awam Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober- Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh yang sebelum ini menerajui Terengganu Football Club Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antara 60 penjawat awam negeri yang menerima Anugerah Perkhidmatan Awam (APC) 2023, semalam.

Mula dilantik sebagai Pegawai Tadbir pada 1 Mei 1997 dengan ditempatkan di Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Ab. Rasid telah berkhidmat dengan kerajaan negeri selama 26 tahun.

Beliau merupakan ahli lembaga pengarah bagi Koperasi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, juga pegawai yang bergiat aktif dalam Persatuan Bola Sepak Negeri dan bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak negeri.

Majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Terengganu 2023 itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai komitmen seluruh penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, ikhlas dan berdedikasi.

“Saya berharap semua penjawat awam terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas agar mendapat kecemerlangan di dunia mahupun akhirat,” ujarnya.