• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

600 Nelayan Terengganu Terima Lesen

BESUT, 22 April - Sebanyak 600 Lesen Sampan Khas diluluskan ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia buat nelayan-nelayan negeri Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menerima kelulusan lesen dengan jumlah sebanyak itu.

"Tidak keterlaluan juga jika saya katakan, selain menjadi negeri pertama mengangkat permohonan lesen bagi rakyat, Terengganu juga menjadi perintis ke arah penyelesaian isu lesen nelayan sampan bagi seluruh negara yang berjumlah puluhan ribu.

"Ini kerana, ekoran permohonan ini pihak kementerian dan Jabatan Perikanan Malaysia telah membuka kembali permohonan dari seluruh negara sejak ia dibekukan pada tahun 1982,' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan lesen kepada 85 nelayan di Beting Lintang, semalam.

Dalam program tersebut, sebanyak 53 nelayan sampan Besut dan 31 nelayan dari Setiu menerima lesen bagi sesi agihan pertama oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT).

Jelas Dr. Azman, daripada 800 permohonan yang diangkat, sebanyak 600 lesen diluluskan bagi fasa pertama dengan Setiu serta Besut menjadi daerah pertama menerimanya.

"Untuk baki 200 permohonan lagi, saya telah mohon dengan JPNT untuk kita buat rayuan bagi fasa kedua. 

"Mungkin ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kita yakin akan dapat diselesaikan," katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya lesen maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan dari kerajaan dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan darpada dapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.

Beliau berharap, dengan usaha tersebut sektor perikanan akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan.

"Sebelum ini, memang ada ikan didaratkan nelayan sampan tetapi banyak yang tidak direkodkan kerana mereka tidak mempunyai lesen. 

"Tujuan asal direkodkan supaya mereka dapat subsidi minyak. Tetapi, apabila mereka tiada lesen maka mereka tidak layak dapat subsidi minyak," katanya.

Tegasnya, kejayaan memperoleh lesen tersebut merupakan kejayaan bersama para nelayan dan agensi.

"Kita mahu industri perikanan kita melonjak lebih jauh selepas ini.

"Kita jauh ditinggalkan oleh Perak dari segi jumlah pendaratan hasil dan tidak seiring dengan panjang pantai dan keluasan zon tangkapan kita kerana beberapa isu berbangkit sebelum ini.

"Satu daripada isu besar yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan berjaya diselesaikan, sekurang-kurangnya kita sudah mengorak langkah," katanya.