Jalur Gemilang
Berita :
6,228 Unit Rumah Mampu Milik Sedang Dibina
6,228 Unit Rumah Mampu Milik Sedang Dibina
Rohayati Ripin
15 jam yang lepas
129

KUALA TERENGGANU, 19 November – Sebanyak 6,228 unit rumah mampu milik sedang dalam pembinaan di seluruh Terengganu, manakala 3,403 unit lagi dalam perancangan, sebagai langkah berterusan kerajaan negeri membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, pembangunan berkenaan melibatkan pelbagai kategori perumahan bagi memenuhi keperluan rakyat mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Menurutnya, daripada 6,228 unit yang sedang dibina, 4,321 unit merupakan RMM Jenis A, manakala 1,907 unit RMM Jenis B.

“Kerajaan Negeri turut melaksanakan penambahbaikan dasar pembangunan RMM secara penswastaan bagi merancakkan lagi penglibatan dan kerjasama pihak pemaju swasta dalam penyediaan rumah mampu milik di seluruh negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli pada pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Belanjawan), semalam.

Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik dapat diperluaskan, khususnya ketika kos pembinaan dan harga tanah semakin membebankan golongan muda serta pasangan yang ingin memiliki rumah pertama.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan RMM Jenis A berkeluasan 800 kaki persegi pada harga RM90,000 seunit, manakala RMM Jenis B berkeluasan 900 kaki persegi ditawarkan pada harga RM185,000 seunit.

Selain itu, Rumah Mesra Rakyat (RMR) RAHMAN berkeluasan 750 kaki persegi ditawarkan pada harga RM75,000 seunit dengan subsidi RM20,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), menjadikan jumlah bayaran peserta sebanyak RM55,000.

Wan Sukairi berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Program RAHMAT yang menyediakan tiga kategori rumah, iaitu Jenis A berharga RM97,500, Jenis B RM110,500 dan Jenis C RM123,500 seunit.

“Pelbagai skim ini disediakan supaya rakyat mempunyai pilihan kediaman berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 3,403 unit rumah turut dikenal pasti dalam perancangan pembangunan, termasuk 3,130 unit RMM Jenis A dan 273 unit RMM Jenis B.

Secara keseluruhan, rekod pembangunan perumahan sejak 2018 hingga September 2026 menunjukkan 3,987 unit telah siap, 6,228 unit sedang dibina dan 3,403 unit dalam perancangan.

Wan Sukairi berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas akses kepada perumahan mampu milik dan memastikan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat terus diberi perhatian.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan