lightning-solid
Berita :
640 Pelajar IMTIAZ Tamat Program Asasi Ulul Albab 2025
640 Pelajar IMTIAZ Tamat Program Asasi Ulul Albab 2025
Pok Abbas
11 Sep 25
214

KUALA TERENGGANU, 11 September – Seramai 640 pelajar Tingkatan Satu dari lapan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu berjaya menamatkan Program Khas Asasi Ulul Albab 2025 yang berlangsung selama enam bulan bermula Mac lalu.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata program tersebut penting dalam melahirkan generasi pelajar Soleh Pintar yang seimbang dari aspek ilmu, sahsiah, kemahiran dan penghayatan al-Quran serta Sunnah.

 “Murid-murid IMTIAZ adalah insan terpilih daripada ribuan permohonan setiap tahun. 

"Yakinlah bahawa anda berada di landasan tepat untuk menimba ilmu, membina peribadi berkualiti dan mengasah potensi diri ke arah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Khas Ulul Albab   bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini.

Ahmad Farhan berkata program Asasi Ulul Albab memberi penekanan kepada tiga komponen utama iaitu Quranik (penguasaan al-Quran melalui konsep BIFFAS iaitu Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar).

Tambahnya, Ensiklopedik (kemahiran bahasa, pengetahuan dan komunikasi berkesan) serta Ijtihadi (pembentukan jati diri, keyakinan dan kebolehan membuat keputusan).

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan IMTIAZ, pengetua dan guru-guru yang berjaya menjayakan program berkenaan serta mengingatkan pelajar agar sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru.


Tag :

Artikel Berkaitan