• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

644 Terima Manfaat Pencen Rakyat Terengganu

SETIU, 11 Februari - Satu lagi janji manifesto kerajaan Negeri Terengganu ditunaikan melalui Pencen Rakyat apabila 644 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri turut menerima manfaat tersebut.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima pencen rakyat  terdiri daripada mereka yang tidak menerima bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bukan pesara yang menerima pencen tetap penjawat awam.

Zul Bhari ketika menyampaian ucapan dan merasmikan Majlis Penyampaian Pencen Rakyat Negeri Terengganu peringkat DUN Permaisuri.
​​​​​​

"Inilah janji dan komitmen kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang ditawarkan dalam manifesto PRU-14 yang lalu dan kini menjadi kenyataan, Alhamdulillah.

"Walaupun kita merasakan nilai ini kecil tetapi ia sangat bernilai kepada semua penerima yang menerimanya hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Pencen Rakyat Terengganu peringkat DUN Permaisuri di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu di Sungai Tarom, semalam.

Terdahulu ucapan aluan disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh yang mewakili Pegawai Daerah Setiu.

Pada majlis itu, setiap penerima Pencen Rakyat menerima RM300 secara tunai yang melibatkan sejumlah peruntukkan RM193,200 bagi DUN Permaisuri.

Osman Daud, 73 salah seorang penerima ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas penerimaan Pencen Rakyat dan akan menggunakannya bagi membeli keperluan keluarga.