lightning-solid
Berita :
645 Permohonan Lesen Sampan Khas 2025 Kini Di Peringkat Akhir
645 Permohonan Lesen Sampan Khas 2025 Kini Di Peringkat Akhir
Zahid Mustafar
12 Nov 25
342

KUALA TERENGGANU, 12 November – Proses permohonan Lesen Sampan Khas Nelayan 2025 kini memasuki fasa terakhir apabila sebanyak 645 permohonan baharu sedang melalui peringkat temuduga dan tapisan akhir sebelum diangkat ke Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, Putrajaya, untuk kelulusan rasmi awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kelestarian dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kebajikan serta pengiktirafan terhadap nelayan tulen di seluruh Terengganu.

Menurut beliau, program Lesen Sampan Khas 2025 dilaksanakan hasil mesyuarat penyelarasan antara kerajaan negeri, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan yang diadakan pada 17 Ogos lalu.

"Kita bersetuju membuka semula permohonan lesen khas ini bagi memberi peluang kepada nelayan tulen yang masih belum memiliki lesen sah.

"Usaha ini memastikan semua nelayan yang benar-benar bergantung hidup kepada laut mendapat hak dan kemudahan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

01K9VHSS9FK7BG5KGEPW7H3GRM (1).webp 49.63 KB
Beliau berkata, semua calon yang layak diminta segera berurusan dengan Persatuan Nelayan Kawasan, Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri bagi melengkapkan proses permohonan.

"Setakat tarikh tutup, sebanyak 645 permohonan diterima dan kini di peringkat penilaian akhir sebelum dibawa ke Putrajaya.

"Kita juga telah menetapkan satu temujanji bersama pihak Ibu Pejabat Perikanan pada minggu depan untuk menyelaraskan isu-isu berkaitan," tambah beliau.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menggerakkan operasi pemutihan lesen nelayan bagi memastikan hanya mereka yang aktif terus memegang lesen.

"Kuota lesen terhad, jadi jika ia dipegang oleh nelayan yang sudah tidak turun ke laut atau tamat tempoh, ia akan menafikan hak orang lain yang lebih layak.

"Langkah ini bukan sekadar pentadbiran, tetapi demi memastikan bantuan, subsidi dan elaun sampai kepada penerima sebenar," jelasnya.

Menyentuh syarat permohonan, Dr. Azman menjelaskan bahawa pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa had usia maksimum, asalkan masih sihat dan berupaya ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun.

"Nelayan juga mesti memiliki sampan sendiri berukuran tidak melebihi 15 meter serta lulus temuduga.

"Bagi pesara kerajaan, hanya mereka dalam kategori B40 layak memohon supaya keutamaan diberi kepada yang benar-benar memerlukan," jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa lesen sampan khas ini bukan hanya untuk nelayan laut, tetapi turut merangkumi nelayan darat seperti nelayan sungai dan air tawar.

"Mereka juga akan menerima elaun sara hidup, minyak bersubsidi serta bantuan peralatan seperti pukat dan jaket keselamatan.

"Kerajaan negeri mahu pastikan tiada satu pun kelompok nelayan tulen di Terengganu tercicir daripada kebajikan dan kemudahan yang disediakan," ujarnya.


Artikel Berkaitan