Berita :
MBKT Lancar E-Kutip, Mudahkan Permohonan Kutipan Sampah dari Rumah
MBKT Lancar E-Kutip, Mudahkan Permohonan Kutipan Sampah dari Rumah
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melancarkan sistem E-Kutip bagi memudahkan permohonan perkhidmatan kutipan sampah pukal dibuat secara dalam talian.

Langkah itu sekali gus memendekkan tempoh pemprosesan permohonan daripada 14 hari kepada hanya tiga hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebelum ini pemohon perlu hadir ke pejabat MBKT dan mengisi borang secara manual.

Katanya, kaedah lama itu mengambil masa sehingga dua minggu sebelum permohonan diluluskan dan kutipan dapat dibuat.

“Dengan adanya sistem ini, pemohon atau tuan rumah hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian dari rumah, pejabat atau mana-mana lokasi sahaja.

“Permohonan akan diproses dalam tempoh tiga hari dan selepas diluluskan, perkhidmatan kutipan sampah akan dilaksanakan dari rumah ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Kawalan CCTV dan melancarkan sistem E-Kutip di Menara MBKT, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Wan Sukairi, sistem itu dijangka menjimatkan masa pemprosesan sehingga 11 hari berbanding kaedah konvensional.

Walaupun pelaksanaannya dibuat secara berperingkat, beliau berkata semua penduduk dalam kawasan pentadbiran MBKT sudah boleh mengemukakan permohonan melalui portal yang disediakan.

“Kita akan membuat hebahan dari semasa ke semasa mengenai alamat portal bagi memudahkan orang ramai melayari laman berkenaan dan membuat permohonan,” katanya.

Wan Sukairi berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha pendigitalan MBKT bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada orang ramai.

Katanya, pengurusan sisa pepejal di kawasan bandar raya perlu bergerak seiring dengan keperluan semasa, terutama apabila penduduk mahukan urusan yang lebih cepat, mudah dan tidak membebankan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan