lightning-solid
Berita :
65 Penternak Terengganu Terima 128 Lembu Baka Premium Bernilai RM2 Juta
65 Penternak Terengganu Terima 128 Lembu Baka Premium Bernilai RM2 Juta
Zahid Mustafar
27 Nov 25
1529

KUALA NERUS, 26 November – Kerajaan Terengganu terus memacu peningkatan populasi ternakan berkualiti tinggi apabila memperuntukkan RM2 juta bagi membawa masuk 117 induk betina dan 11 pejantan baka Brahman dan Limousine dari Australia, sebelum diagihkan kepada 65 penternak terpilih di seluruh negeri sebagai langkah strategik memperkukuh industri ruminan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembiakan baka premium yang lebih produktif dan tahan lasak.

"Kita mula agihkan lembu induk dan pejantan dari baka Brahman dan Limousine yang dibawa masuk dari Australia sebulan lalu.

"Semua ternakan telah selesai melalui proses kuarantin dan pemeriksaan sebelum diagihkan kepada penternak yang lulus tapisan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Penyerahan Bantuan Input Penternakan dan Program Peningkatan Populasi Ternakan Ruminan Tahun 2025, di Kampung Banggol Nyior, di sini semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim; Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli; Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Anun Man.

AMRZ0230.jpg 1005.4 KB
Beliau berkata pemilihan dibuat secara teliti bagi memastikan ternakan ditempatkan kepada penternak yang benar-benar mampu menguruskan baka tersebut secara berterusan.

"Ada penternak terima dua induk betina Brahman, ada yang terima induk pejantan seekor dan betina seekor, manakala sebahagian lagi menerima baka Limousine.

"Itu antara pakej yang kita sediakan bagi memastikan pembiakan berlaku secara sistematik dan memberi pulangan kepada industri penternakan negeri," jelasnya.

Dato’ Dr. Azman turut menegaskan bahawa ternakan yang dibawa masuk adalah induk berkualiti yang telah disahkan bunting bagi mempercepatkan peningkatan populasi ternakan ruminan negeri.

"Induk yang kita beli ini disahkan Pregnant Tested In Calf (PTIC) bagi memastikan proses pembiakan dapat bermula lebih awal.

"Kita beli lembu ini bukan untuk kerajaan bela, tetapi untuk memastikan penternak dapat melahirkan lebih banyak baka berkualiti di Terengganu," ujarnya.
AMRZ0219.jpg 1.97 MB


Artikel Berkaitan