• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

66 Peluncur Udara 'Terbang' Sempena 66 Tahun Kemerdekaan

BESUT, 28 Ogos - Seramai 66 peluncur udara melakukan terbangan 'Merdeka Fun Fly'  sempena 66 tahun kemerdekaan negara di Bukit Bubus semalam.

Pengarah Program, Fahami Zakaria berkata, ia merupakan salah satu acara kemuncak sempena Terengganu Air Festival (TIAF) pada tahun ini.

Katanya, ia merupakan tahun kedua program berkenaan diadakan dengan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Dengan beberapa acara yang diadakan turut melibatkan peserta antarabangsa dari enam negara iaitu Indonesia, Thailand, Korea, Filipina, Nepal dan India.

"Malah ramai lagi peluncur dari negara lain ingin menyertai namun ada kekangan tertentu jadi mereka tidak boleh hadir, diharapkan pada tahun akan datang program ini akan lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai peluncur," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di acara penutup program TIAF, di Bukit Bubu, Besut, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong yang telah menyempurnakan acara penutup program berkenaan.

Dalam pada itu Fahami berkata, program pada tahun ini turut memberi peluang kepada kanak-kanak sekolah menyertai program bertaraf antarabangsa itu.

"Acara yang turut dimasukkan pada festival kali ini ialah acara roket peracut 'paper plan'. 'water rocket' bagi peringkat sekolah rendah dan menengah dengan penglibatan seramai 400 murid dari 40 buah sekolah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pelancongan Negeri kerana selama ini berperanan menjadi nadi penting dalam memastikan acara TIAF dapat dijayakan dengan sempurna.